Isnin, 28 Mei 2012

Bunga-bunga yang harum mewangi

Bunga adalah ciptaanNya yang teramat indah.Bukan itu sahaja, bunga juga mempunyai haruman yang wangi.Ada uniknya apabila setiap kuntum ciptaan Ilahi itu ada ciri-ciri yang istimewa.Cuba kita perhatikan kebanyakan bunga yang putih atau mempunyai satu warna akan berbau harum berbanding dengan bunga yang pelbagai warna.

Apa yang ana nak kongsikan disini ialah bunga-bunga yang harum yang terdapat di tanahair kita ini.Mungkin sedikit sebanyak ada nostalgia silam kisah kanak-kanak kita dengan bunga-bunga ini.Mari kita terokai......


Bunga Kenanga


- dikenali sebagai bunga Cananga Odorata.Tumbuh sebagai pokok malar hijau yang agak tinggi namun dengan kaedah benih kawin, ianya boleh tumbuh sebagai pohon renek.Pembiakan melalui keratan batang atau teknik tut.Pada masa dahulu, bunga kenanga akan disimpan didalam lipatan kain dan disimpan di dalam almari untuk mengekalkan keharumannya.Mak ana juga meletakkan bunga kenanga didalam bekas bedak sejuk untuk mendapatkan harumannya.


Bunga Mawar:


- merupakan tumbuhan berduri yang terdiri daripada pelbagai warna dengan kelopak yang tersusun indah umpama kain baldu.Ciptaan Tuhan yang sungguh indah yang sering dikaitkan dengan lambang percintaan.Di biakkan melalui kaedah keratan batang dan tut.Sesuai ditanam sama ada didalam pasu atau di atas tanah.Melalui kaedah pembiakan moden kini dapat dicipta pelbagai kacukan warna-warna yang baru dibanding dengan masa dahulu.


Bunga Kembang Cina:


- juga dikenali dengan nama Gardenia Agusta.Pokoknya agak sederhana tinggi dan berdaun lebat.warnanya putih berseri dengan susunan kelopak seperti bunga ros .Daun dengan permukaan lilin dan rimbun.Bunga ini sering ditanam dikawasan rumah dikampung-kampung untuk mendapatkan haruman baunya.


Bunga Kemuning:


- nama saintifiknya ialah Murraya Paniculata.Ketinggian pokok sekitar 3-7 meter.Berbatang pendek dan berbunga sepanjang tahun.Mempunyai buah yang berwarna hijau kemudian bertukar menjadi merah.Kaedah penanaman melaui keratan batang yang tua atau matang,biji benih dan kaedah tut.Ana sendiri tidak pernah melihat pokok ini secara dekat hanya mendapat maklumat dari blog-blog tanaman lain.


Akar Dani:



- Istilah saintifiknya ialah Quisqualis Indica.Tumbuhan jenis renek yang memanjat sesuai ditanam di pegola atau berpagar.Bunga terdiri daripada kuntuman-kuntuman kecil berbentuk tiub yang mempunyai gabungan warna merah,merah jambu dan putih.Berbunga lebat dan haruman yang lembut.Ada juga yang menyatakan pokok ini mempunyai khasiat perubatan tradisional  namun ana tidak begitu pasti dengan kesahihannya untuk di kongsi bersama disini.Bolehlah rujuk ke blog-blog petua tradisi untuk maklumat lanjut.


Bunga Melur:






- Jasminum Sambac nama saintifiknya.Ada juga yang memanggilnya dengan Bunga Melati.Pokoknya rendah dan agak renek dengan daun-daun kecil yang banyak dan rimbun.Bunga dengan susunan kelopak-kelopak kecil berwarna putih bersih.Mempunyai haruman yang agak kuat pada ana dan sering diikat untuk dijadikan lilitan pada sanggul pada zaman dahulu.Pembiakan melalui keratan batang yang matang atau kaedah tut.


Bunga Tanjung:





- Mimusop Eleng.teringat dengan lagu Datuk Sharifah Aini yang memuja kecantikan bunga Tanjung yang akhirnya gugur jua ke bumi.Pokok bunga tanjung agak besar dan gagah tinggi.Kuntuman-kuntuman kecilnya tumbuh pada hujung-hujung dahan.dan hanya dapat dipetik sekiranya tercapai jari, jika tidak kita hanya dapat mengutip kuntum-kuntum yang telah gugur melata di atas tanah sahaja.Walau bagaimanapun harumannya tetap kekal walaupun selepas jatuh gugur.Ini adalah salah satu bunga kesukaan ana dari dahulu hingga sekarang.Wangi sangat harumannya dan ana tetap akan mengutipnya hingga kini bila saja terjumpa pokok bunga tanjung.

Bunga Kemboja:


- Juga dikenali dengan nama Frangipani@Plumenia.Pokok bersaiz agak besar dengan daun yang berbentuk bujur panjang.Bunganya berkelopak lima dan terdiri daripada pelbagai kacukan warna .Pokok kemboja putih amat sinonim dengan kawasan perkuburan.Mungkin ia sering ditanam disitu kerana haruman bunga-bunganya.Kini banyak ditanam dengan kaedah tanaman bonsai yang diletakkan didalam pasu-pasu.


Bunga Harum Sundal Malam:


- Bunga yang berasal dari Amerika Tengah ini dikenali dengan nama Polianthes Tuberosa.Jujurnya ana sendiri tidak pernah melihat pokok bunga ini secara nyata.Bunga ini sering dikaitkan dengan unsur-unsur mistik namun sebagai seorang Islam kita tidak boleh mempercayai unsur-unsur yang sebegini.Mungkin kerana bunga ini hanya mekar dan mengharum pada waktu malam maka ianya dikaitkan dengan unsur-unsur tahyul.Apa pun ianya berbau harum pada waktu malam adalah untuk menarik kedatangan serangga-serangga untuk proses pendebungaannya.


Bunga Kesidang:


- Nama saintifiknya ialah Vallaris Gabra.Juga dikenali dengan nama bunga Tikar Seladang atau bunga Kerak Nasi di sebelah utara tanahair.Merupakan tumbuhan memanjang,berbatang kecil dan kulit keras.pembiakannya melalui kaedah keratan batang yang matang dan tut.tak banyak yang ana ketahui tentang bunga ini hanya melalui pencarian Google sahaja.

Sampai disini sahaja coretan ana untuk kali ini.Insyaallah kita bersua lagi dilain coretan.Semoga sedikit sebanyak dapat mengisi pengetahuan tentang keindahan ciptaan Tuhan yang ada di muka bumi ini untuk kita hayati bersama.........

2 ulasan:

  1. blog anda amat membantu saya .saya memanb sedang mencari nama-nama bunga kerana tahun ini saya akan memasuki pesta pantun :) terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah Fina Suhaimy, semoga berjaya dalam pesta pantun nanti...terima kasih sudi ke sini..

      Padam